Friday, January 14, 2011

PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Pengendalian di Ladang:  Tandan pisang yang telah disusun dan beralas perlulah diangkut ke pusat pengumpulan dengan cermat.  Pengangkutan tandan pisang keluar dari ladang ke rumah pengendalian mudah dilakukan dengan lori.  Di ladang pisang komersial, pisang yang telah siap disisir, dimasukkan ke dalam gerabak dan ditarik ke pusat pengumpulan dengan traktor.
Pengendalian di Rumah Bungkusan:  Di pusat pembungkusan, aktiviti pengendalian lepas tuai seperti penyisiran, pembersihan, rawatan dan penggredan dijalankan untuk meningkatkan mutu dan persembahan buah pisang.  Kemahiran yang tinggi adalah diperlukan dalam melaksanakan amalan lepas tuai di pusat pengendalian supaya mutu buah dapat dikekalkan.
Penyisiran:  Tandan-tandan pisang yang telah diasingkan dari pembalut bungkusan, diletakkan di atas meja beralas bahan lembut.  Sisir-sisir pisang dipisahkan dari tandan dengan teliti, jejari-jejari yang cacat atau tidak bermutu dipotong dan diasingkan.  Kerja-kerja penyisiran dilakukan secara manual dengan pisau pemotong tajam dan memerlukan kemahiran yang tinggi.
Pembersihan:  Sisir-sisir pisang dimasukkan ke dalam takungan air bersih.  Pembersihan dilakukan dengan teliti bagi membuang segala benang sari dan menanggalkan semua kotoran dengan berus lembut.  Lebihan pangkal sisir dipotong dengan kemas semasa pembersihan dilakukan.
Rawatan:    Sisir pisang dirawat dengan merendam dalam takungan campuran pencegah kulat seperti TBZ atau benomil selama 2 - 10 minit untuk mengawal jangkitan kulat.  Kadar campuran yang biasa digunakan untuk rawatan tersebut adalah 2 - 5 g benomil bagi 10 liter air atau 4 - 10 g TBZ bagi setiap 10 liter air.
Pengeringan:  Sisir-sisir pisang yang siap dirawat dikeringkan.  Pengeringan dilakukan dengan bantuan tiupan angin dan putaran kipas menghala ke aras susunan sisir-sisir pisang.  Pengeringan yang sempurna akan mengekalkan mutu buah pisang.
Penggredan:  Kriteria penggredan mengambil kira pada spesifikasi buah iaitu bilangan sisir setiap kotak, berat sisir, bilangan jejari sesisir dan saiz jejari pisang.  Panduan penggredan bagi pisang pada umumnya adalah seperti berikut:-
Jadual 5:  Panduan Penggredan Pisang
Gred
Gred mengikut panjang jejari pisang
A
B
C
12.5 cm ke atas
11.5 - 12.4 cm
10.5 - 11.4 cm

Pembungkusan:  Pembungkusan dilakukan supaya tidak terdedah kepada kerosakan, mudah dialih, mudah disimpan dan menarik apabila dipamerkan untuk jualan.  Kotak-kotak pembungkusan dibuat daripada kertas beralun (CPB)
Penyimpanan Hasil:  Penyimpanan kotak-kotak berisi pisang memerlukan pengawalan suhu dan kelembapan supaya buah tidak hilang kesegarannya dalam tempoh penyimpanan.
Pemasakan:  Penggunaan gas etilena untuk mempercepatkan pemasakan seragam dilakukan oleh ladang komersial yang mempunyai kemudahan bilik pemasakan.  Proses pemasakan pisang juga boleh dirangsang dengan menggunakan bahan bebas etilena seperti ethephon.  Semburan ethephon pada paras 1000 - 5000 bsj ke atas buah pisang yang baru dituai menyebabkan pisang masak selepas 4 - 6 hari pada suhu bilik.
Pemasakan pisang dengan menggunakan kalsium karbaid juga boleh digunakan pada kadar 3 - 10 g bagi setiap kilogram pisang dan diletakkan di penjuru dalam ruang pemasakan.  Jangkamasa 24 jam diperlukan untuk rangsangan pemasakan selepas pendedahan.

No comments:

Post a Comment